fb fb fb fb fb

Kargo Indonesia bawa 20,000 kg serbuk bijih timah tanpa kebenaran ditahan

Foto Maritim Malaysia

MERSING, 7 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan sebuah kapal kargo Indonesia yang membawa kira-kira 20,000 kilogram (kg) serbuk bijih timah tanpa kebenaran pihak berkuasa, di Jeti Pendaratan Ikan Sungai, Endau, Mersing petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin memaklumkan, kapal itu dikesan semasa Op Jaksa dan Op Tiris di kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika timur Tanjung Kempit.

"Pemeriksaan mendapati, kapal kargo tersebut membawa barang berduti berkenaan, dari Tanjung Pinang, Indonesia untuk dihantar ke jeti Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

"Nakhoda kapal berkenaan juga didapati tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa, dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran mengangkut barang duti tersebut," kata Suhaizan menerusi satu kenyataan.

Nahkoda bersama-sama lima kru warga Indonesia berumur antara 22 hingga 46 dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

TETITIA YUSOFF