KLANG, 14 Jun- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas wartawan penyiaran, Datuk Karam Singh Walia di sini.
Kini, wartawan lagenda itu uzur akibat penyakit hati dan buah pinggang sejak dua tahun lalu.
"Saya dimaklumkan keadaan Datuk Karam, saya berhasrat datang sendiri melawat beliau sebagai kawan bukan dan bukan sebagai wakil rakyat.
"Hasrat pewujudan tabung ini adalah untuk membantu pengamal media atau bekas wartawan yang menghadapi kesusahan," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, Karam yang ditemui berkata, beliau terharu dengan kedatangan wakil rakyat dan juga rakan-rakan media.
"Saya amat terharu dengan kedatangan Timbalan Menteri Komunikasi yang melawat saya bersama-sama rakan media pelbagai agensi. Terima kasih saya ucapkan.
"Saya suka orang datang melawat. Saya masih kuat, sanubari saya masih kuat, hasrtat saya kuat," katanya.
Karam Singh Walia memulakan kerjaya sebagai wartawan di Media Prima sejak 1995, sebelum bersara pada tahun 2014 kerana masalah kesihatan.
Beliau juga pernah memenangi dua kali memenangi Anugerah Seri Angkasa dan empat kali anugerah Malaysia Press Institute (MPI) sebagai Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik pada 2004, 2005, 2006 dan 2007.
Beliau antara 103 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lalu.