fb fb fb fb fb

Kapasiti tenaga boleh diperbaharu global dijangka cecah paras tertinggi pada 2022: IEA

(FOTO IEA)

PARIS, 11 Mei - Dunia akan mencatat rekod baharu untuk kapasiti kuasa boleh diperbaharu tahun ini, diterajui tenaga suria di China dan Eropah.

Tetapi pertumbuhan itu boleh kehilangan momentum pada 2023, kata Agensi Tenaga Antarabangsa hari ini.

Rekod baharu 295 gigawatt kapasiti kuasa dicatatkan pada 2021 walaupun terdapat kesesakan rantaian bekalan, kelewatan pembinaan dan harga bahan mentah yang tinggi, kata IEA dalam satu laporan.

Tambahan 320 gigawatt dijangka dipasang tahun ini, bersamaan dengan keseluruhan permintaan elektrik Jerman atau jumlah penjanaan elektrik Kesatuan Eropah daripada gas asli.

Tenaga suria akan menyumbang 60% daripada pertumbuhan kuasa boleh diperbaharu pada 2022, mendahului tenaga angin dan hidro, menurut agensi itu, yang menasihati negara maju mengenai dasar tenaga.

(Dunia akan mencatat rekod baharu untuk kapasiti kuasa boleh diperbaharu tahun ini, diterajui tenaga suria di China dan Eropah/GOOGLE)

"Kapasiti tambahan yang ditauliahkan untuk 2022 dan 2023 mempunyai potensi untuk mengurangkan pergantungan ketara Kesatuan Eropah pada gas Rusia dalam sektor kuasa," kata IEA.


"Bagaimanapun, sumbangan sebenar akan bergantung pada kejayaan langkah kecekapan tenaga selari untuk memastikan permintaan tenaga rantau ini terkawal," kata agensi itu.

EU menetapkan matlamat untuk mengurangkan pergantungan beratnya pada gas asli Rusia sebanyak dua pertiga tahun ini berikutan pencerobohan Moscow di Ukraine. -AFP

Media Baharu