fb fb fb fb fb

Kantin sekolah rosak di Maran tersenarai projek daif kementerian - KPM

(Foto fail)

PUTRAJAYA, 13 Februari- Kantin di Sekolah Kebangsaan Kampung Awah, Maran, Pahang yang rosak hingga menyebabkan 230 orang murid makan merata-rata di sekitar kawasan sekolah berkenaan, merupakan pembangunan yang sudah tersenarai dalam projek daif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut KPM menerusi kenyataan hari ini, kantin rosak itu termasuk dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan untuk Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun ini dan kelulusan projek itu tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Projek baik pulih kantin tersebut akan melibatkan aspek merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu termasuk kantin dan lain-lain.

“Kemudahan lain dibina termasuk mengikut piawaian dan mesra orang kurang upaya (OKU), perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sementara menunggu pembinaan semula kemudahan itu, pihak sekolah sejak awal lagi meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan kerana ia diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pihak sekolah juga menyediakan khemah khas untuk digunakan oleh murid dan guru ketika waktu rehat.

“KPM sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid, malah komited memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan murid dan guru,” katanya.

Sebelum ini, laporan media pada 10 Februari lalu melaporkan isu kerosakan kantin sekolah itu yang menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan merata-rata termasuk di tepi longkang.

(Foto FB Mohd Fadli Salleh)

 

Media Baharu