KULAI, 24 Mei-Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mengadakan sesi dialog bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan peruntukan undang-undang berhubung kandungan berunsur lucah di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata tindakan itu perlu bagi memastikan semua penyedia platform jelas dan peka dengan larangan kandungan berunsur pornografi di media sosial.
Katanya lagi isu tersebut perlu dipehalusi memandangkan pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kandungan lucah di media sosial.
"Saya berharap agar semua penyedia platform media sosial memahami dan lebih peka berkaitan perkara ini.
"Pihak kami menerima aduan seperti identiti palsu dan gambar lucah. Jadi, pihak kami akan adakan dialog bagi menasihati mereka (penyedia platform media sosial bahawa undang-undang di Malaysia tidak bertoleransi dengan perbuatan sebegini", katanya semasa menghadiri tayangan filem Anwar The Untold Story di sini.
Mengulas mengenai isu perbincangan kandungan lucah di telegram dikendali seorang wanita, satu perjumpaan bersama penyedia platform media sosial itu akan diadakan dalam waktu terdekat.
Sementara itu, berhubung dakwaan terdapat pihak mensabotaj filem Anwar The Untold Story, Nie Ching berkata KKD akan menjalankan siasatan lanjut sama ada tuduhan itu benar atau sebaliknya.
"Setakat ini saya tidak menerima apa-apa maklum balas daripada FINAS lagi.
"Kami akan buat siasatan berkenaan tuduhan tersebut kerana saya jika ramai penonton berminat dengan filem ini, semakin banyak panggung akan tayangkan filem ini," katanya.
Sebelum ini, produksi filem itu mendakwa segelintir pawagam enggan memberikan sokongan terhadap filem Anwar The Untold Story.
Tindakan itu mengecewakan produksi meskipun meraih satu juta ringgit kutipan pada hari pertama tayangannya.
(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching/FOTO RTM)