CYBERJAYA, 3 April –Pengguna media sosial diminta lebih bertanggungjawab dan terus mengamalkan kawal selia kendiri, berikutan peningkatan penyebaran kandungan yang memudaratkan, menjelikkan dan berbaur kebencian di pelbagai platform media sosial.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) Mediha Mahmood, lonjakan kandungan memudaratkan di platform media sosial adalah satu masalah semakin membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada individu, komuniti, dan masyarakat.
Tambahnya walaupun platform media sosial ini telah mengubah cara komunikasi dengan menawarkan kepantasan dan keterhubungan yang efektif, mereka yang berniat jahat telah mengeksploitasi ciri-ciri tersebut untuk penyebaran kandungan yang memudaratkan dan bersifat kontroversial.
Sebagai penyokong kawal selia kendiri dalam ekosistem digital, CMCF menegaskan keperluan untuk tindakan secara kolektif bagi menangani isu tersebut.
"Kami sangat bimbang dengan peningkatan kandungan yang direka semata-mata untuk membangkitkan kemarahan atau dijadikan ‘viral’ melalui unsur-unsur sensasi yang sering kali mengabaikan adab dan kesopanan, serta berpotensi untuk membawa kesan yang memudaratkan dalam kehidupan sebenar,” kata Mediha.
Tambahnya amat penting bagi pengguna media sosial untuk menggunakan pertimbangan dan bertanggungjawab dalam interaksi dalam talian mereka. Ini termasuklah menahan diri daripada berkongsi, menyebarkan semula, atau berinteraksi dengan kandungan yang memudaratkan, menjelikkan dan berbaur kebencian.
Selain itu, CMCF juga menekankan pengguna menekankan kepentingan pemikiran kritis dan literasi media dalam mengemudi landskap digital.
“Dengan membudayakan kesedaran terhadap taktik manipulasi yang digunakan oleh pencipta kandungan yang berniat jahat, individu dapat membuat pilihan yang bermaklumat tentang perilaku dalam talian mereka.
“Apabila berhadapan dengan kandungan yang jelas provokatif, rasis, seksis, atau memudaratkan, pengguna berupaya untuk mengenal pasti bahawa ia adalah percubaan untuk membangkitkan wacana negatif dan boleh memilih untuk tidak terlibat dengannya, kata Mediha.
Selain itu, beliau juga mahu individu yang berhadapan dengan kandungan yang melanggar peraturan atau undang-undang digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam menanganinya.
“Jika kandungan tersebut melanggar garis panduan komuniti atau standard undang-undang, pengguna sangat digalakkan untuk melaporkannya segera kepada platform media sosial yang berkaitan untuk mengurangkan penyebarannya.
“Jika kandungan tersebut merupakan suatu kesalahan jenayah atau mengancam keselamatan awam, pengguna digalakkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera,” katanya.
Tambahnya, tindakan yang cepat dan tegas dapat menyumbang secara kolektif untuk mencipta persekitaran digital lebih selamat dan kondusif.
Selain itu, pihak CMCF juga menyeru golongan berkuasa dan berpengaruh untuk memberi contoh sebaiknya dalam mempromosikan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.
"Sebagai individu yang mempunyai pengaruh yang besar, mereka mempunyai peluang unik untuk membentuk wacana dalam talian secara positif.
“Kami menyeru mereka untuk menggunakan platform mereka untuk memperkuat mesej berkaitan toleransi, empati, dan pemikiran kritis, serta pada masa sama mengelak daripada menyokong atau menyumbang kepada kandungan yang memudaratkan," kata Mediha.