fb fb fb fb fb

LTAT umumkan kadar dividen 5 peratus tahun 2023

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2023/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen kekal sebanyak lima peratus bagi tahun 2023 iaitu tahun kedua berturut-turut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia melibatkan jumlah pembayaran bernilai RM485.08 juta berbanding RM476.45 juta berbanding 2022.

Beliau berkata, dividen itu akan diagihkan kepada 123,380 pencarum bermula hari ini.

"Dividen-dividen ini telah dapat ditentukan kadarnya berasaskan keuntungan dan juga rizab LTAT yang kukuh, disebalik yang menyatakan bahawa keadaan itu tidak terdapat dalam LTAT. Jadi kita percaya bahawa LTAT akan terus bergerak dengan baik, cemerlang.

"Sebagai satu tabung pencen untuk anggota tentera yang berkhidmat dan pada masa yang sama LTAT mampu untuk memainkan peranan bagi menyertai dan memajukan ekonomi negara melalui penyertaannya dalam pelbagai bidang melalui anak-anak syarikatnya", katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2023 di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pencarum LTAT boleh menyemak akaun mereka melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau melayari laman web rasmi LTAT di www.ltat.gov.my.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khalid berkata pendapatan bersih LTAT meningkat pada tahun 2023 iaitu RM537.80 juta berbanding RM432.47 juta berbanding 2022.

Beliau berkata, keuntungan terkumpul selepas dividen LTAT juga berkembang kepada 52 peratus iaitu RM756.81 juta pada tahun 2023 berbanding RM498.7 juta pada tahun sebelumnya.

ROSLINA BINTI DIN