CYBERJAYA, 4 April- Sebanyak 488 penyertaan daripada 55 pertubuhan media diterima Malaysian Press Institute (MPI) bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2023 (HKM 2023).
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata karya-karya kewartawanan yang dihasilkan dan diterbitkan sepanjang tahun lalu itu akan berentap untuk merebut hadiah wang tunai RM450,000, tajaan daripada PETRONAS.
"HKM 2023 mencatatkan penyertaan tertinggi diterima oleh MPI sejak Hadiah Kewartawanan Malaysia diperkenalkan pada tahun 1980.
"Tahun ini memperlihatkan unjuran kenaikan 21 peratus atau 488 penyertaan berbanding 386 yang diterima tahun sebelumnya.
"Penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik (65 penyertaan), disusuli Kewartawanan Foto Terbaik (44 penyertaan) dan Laporan Berita Terbaik (37 penyertaan).
"MPI juga menerima dua pencalonan Tokoh Wartawan Negara.
"Peningkatan penyertaan ini didorong pertambahan enam kategori baharu yang diperkenalkan iaitu Kewartawanan ESG Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik," katanya menerusi kenyataan.
Majlis penyampaian anugerah pada Malam Wartawan Malaysia itu akan diadakan pada 7 Jun ini di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Majlis tahunan MPI itu bertujuan mengiktiraf karya-karya kewartawanan terbaik pengamal media tempatan pada tahun dipertandingkan.