fb fb fb fb fb

Kanak-kanak setahun tujuh bulan maut digigit anjing di Sungai Buloh

Foto hiasan

SUNGAI BULOH, 23 Julai - Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dipercayai digigit haiwan dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan pada pukul 8.40 pagi.

“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 pagi selepas diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar dan luka pada bahagian kepala serta badan mangsa.

"Mangsa dihantar terus ke hospital oleh ibu bapanya sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, berusia 31 tahun, kejadian disedari ketika dia dan isterinya pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah terbuka.

"Pasangan itu kemudian mencari mangsa di dalam dan sekitar kawasan rumah, sebelum menjumpai anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira 20 meter dari rumah dan dikelilingi beberapa ekor anjing.

"Siasatan awal mendapati mangsa berada bersama bapa saudaranya dan kehilangannya hanya disedari selepas lelaki itu mendengar jeritan ibu bapa mangsa," katanya.

Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pihak polis turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan boleh menghubungi Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau Pegawai Penyiasat Insp. Mohamad Aizad bin Abd Azik di talian 013-4861194 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN