fb fb fb fb fb

Kanak-kanak OKU rentung rumah terbakar di Saratok

SARATOK, 1 Mei - Seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tanjung Hulu, Jalan Abang Hj Puteh Alias, Saratok, pada malam Sabtu.

Mayat Aleeysa Mad Ali, 12, ditemukan di dalam bilik tidur rumah dua tingkat itu ketika operasi pemadaman dijalankan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada jam 8.18 malam.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan rumah dua tingkat itu terbakar keseluruhannya.

"Kebakaran dikawal pada 8.45 malam dan pemeriksaan mendapati seorang kanak-kanak perempuan rentung di dalam bilik tidur rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

(FOTO Bomba)

Menurut kenyataan itu, enam lagi penghuni membabitkan dua lelaki dan empat wanita berjaya menyelamatkan diri.

"Siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian itu," katanya.

Media Baharu