(Kejadian berlaku ketika hujan lebat petang semalam/JBPM)
SUNGAI PETANI, 2 Februari- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun yang dikhuatiri hanyut ke kolam takungan setelah terjatuh ke dalam longkang di Taman Sejati Indah Sungai Petani ditemukan selamat.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat petang semalam.
Dia diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Syukri Hashim, kanak- kanak itu ditemukan selamat di tebing kolam kira- kira 15.24 meter (50 kaki) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
"Mangsa kemudiannya diangkat ke tempat selamat dan diberi rawatan awal oleh anggota ambulans Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan EMRS sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan," kata Syukri kepada media di sini.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan seorang pegawai dan tujuh anggota bomba serta pihak polis.
(Kanak-kanak enam tahun dikhuatiri hanyut ke kolam takungan ditemukan selamat/JBPM)