fb fb fb fb fb

Kanak-kanak dikhuatiri lemas, cuba selamatkan anak saudara

(Ahmad Fadhlullah Mohamad,12, dikhuatiri lemas di Pantai Kemayan, Bachok di Kelantan)

BACHOK, 5 Mac- Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya yang terjatuh ke dalam laut di Pantai Kemayan, dekat sini, Kelantan, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 8.00 pagi itu, Ahmad Fadhlullah Mohamad,12, dikatakan cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di pantai berkenaan.

Ibu mangsa, Rosnani Mohd Salleh yang turut berada di tempat kejadian memberitahu dirinya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan berdoa semoga anak bongsunya itu segera ditemukan.

Katanya, kejadian berlaku sangat pantas apabila cucunya, Muhammad Nabil tiba-tiba tergelincir ke laut dan cuba diselamatkan oleh Ahmad Fadhlullah.

Menurutnya, pada masa sama, seorang lagi anaknya, Nurul Afiqah, 19, turut sama terjun untuk membantu menyelamatkan Muhammad Nabil.

"Ketika kejadian, Muhammad Nabil dipercayai tergelincir jatuh ke laut dan melihat situasi itu, Ahmad Fadhlullah dan kakaknya terjun untuk menyelamatkan mangsa.

"Muhammad Nabil dapat diselamatkan tetapi Ahmad Fadhlullah hilang dibawa ombak besar," katanya kepada media di sini.

Nurul Afiqah dan Muhammad Nabil kini mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Rosnani berkata, mereka sekeluarga bermalam di sebuah chalet berdekatan sempena hari keluarga dan sepatutnya menjalankan aktiviti sukaneka pada sebelah pagi, tetapi ia terpaksa dilupakan susulan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kehilangan kanak-kanak lelaki terbabit

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM MALAYSIA) Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

(Operasi SAR Ahmad Fadhlullah Mohamad (bulat) di Pantai Kemayan,
Bachok di Kelantan)

Media Baharu