fb fb fb fb fb

Pemasangan Starlink, penduduk Kampung Langsat terima akses internet

Fahmi Fadzil menunjukkan PoC Pemasangan Starlink di Masjid An-Nur Kampung Langsat/Foto BERNAMA

RANAU, 29 Oktober- 500 penduduk di Kampung Langsat di sini bakal menerima akses kepada internet kelajuan tinggi lebih 200 mbps dengan pemasangan peranti Starlink di kawasan itu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Menerusi Projek Proof of Concept (PoC), ia merupakan penyelesaian sementara bagi memenuhi keperluan akses internet sementara sebelum pembinaan menara telekomunikasi siap menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Fahmi berkata peranti Starlink di Kampung Langsat telah dipasang pada 7 Septembar lalu dan ia merupakan yang kedua di Sabah selepas pemasangan peranti sama di Keningau pada 5 September.

"Pemasangan Starlink di kampung ini sedikit berbeza kerana ia berada pada bahagian bangunan bagi memastikan ia kukuh," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan itu di sini.

Fahmi turut mengulas berkenaan kelewatan pembinaan menara telekomunikasi Kampung Langsat daripada jadual asal.

Pihaknya sedang berusaha agar memastikan menara itu siap dalam tempoh terdekat bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.

"Esok saya ada pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk berbincang perkara ini selain cuba memenuhi keperluan telekomunikasi di Sabah dengan kerajaan negeri," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI