fb fb fb fb fb

Barangan keperluan harian di Langkawi mencukupi

KPDN Kedah periksa premis di Langkawi menerusi Ops Manis

LANGKAWI, 29 Oktober- Barangan keperluan harian di Pulau Langkawi mencukupi bagi menampung permintaan semasa.

Perkara itu hasil pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di sekitar Ayer Hangat di sini.

KPDN Kedah memaklumkan, pemeriksaan Ops Manis ke atas peruncit mendapati bekalan mencukupi bagi menampung permintaan termasuk gula, minyak masak, beras dan telur ayam.

Kebanyakan premis membuat kawalan kendiri terhadap penjualan barangan keperluan bagi mengelakkan pembelian tanpa had.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan KPDN Kedah berkata, "pemeriksaan minyak masak sawit tulen (botol) mendapati harga jualan mematuhi harga yang ditetapkan. Bekalan semasa juga mencukupi bagi menampung permintaan. Maklumat bekalan dan harga diambil bagi tujuan pelaporan.

"Pemeriksaan PHM Ayam dan Telur Ayam mendapati premis yang diperiksa mematuhi harga jualan yang ditetapkan. Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis mendapati peniaga mematuhi perundangan di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan," kata kenyataan itu.

Pemeriksaan OPS Beras dan OPS Jamin juga mendapati, premis mempunyai stok bekalan beras yang banyak.

Malah tiada aktiviti penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label kampit beras tempatan kepada kampit beras import
untuk tujuan manipulasi harga.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI