fb fb fb fb fb

Kampung Jimah Baru, SK Jimah Baru sebagai Kampung dan Sekolah Angkat MADANI

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun

PORT DICKSON, 6 Disember - Kampung Jimah Baru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Baru dipilih sebagai Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di bawah Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat Madani Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Kampung Jimah Baru merupakan kampung ketiga di daerah Port Dickson yang dipilih sebagai Kampung Angkat. Manakala SK Jimah Baru menjadi sekolah kelapan di daerah tersebut diiktiraf sebagai Sekolah Angkat MADANI.

Secara keseluruhan, Negeri Sembilan kini mempunyai 22 Kampung Angkat Madani dan 45 Sekolah Angkat MADANI.

"Saya pasti program ini bukan sahaja akan dapat menambah baik kemudahan infrastruktur di kawasan kampung serta sekolah yang terlibat.

"... malah turut mampu meningkatkan taraf ekonomi kepada lebih kurang 500 orang penduduk di kampung ini melalui program bantuan dan program peningkatan pendapatan yang bakal dilaksanakan", katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta mengajak masyarakat terus berganding bahu bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Jimah Baru, Port Dickson.

ROSLINA BINTI DIN