PEKAN, 3 April-Dua kakitangan Jabatan Perangkaan Pahang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung lori di Kilometer 55 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sini awal hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku pada 8.30 pagi. Mangsa Ruzana Mohamad Agin, 50, dan Suhaizan Abdullah, 41, disahkan maut di lokasi kejadian.
Ruzana beralamat di Perumahan Dato Shahbandar manakala Suhaizan dari Kampung Bentan, Kuala Pahang, kedua-duanya di Pekan, difahamkan dalam perjalanan atas urusan kerja di Rompin.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu Ruzana terbabas ketika sedang mengambil selekoh akibat jalan licin sehingga memasuki jalan bertentangan menyebabkan kenderaan mereka bertembung dengan lori yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu dekat.
Zulfadli berkata pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori disahkan meninggal dunia selepas lori dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam kolam takungan di Jalan Pintasan Sungai Ular, dekat Gebeng, Kuantan.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 9.00 malam semalam. Mayat mangsa hanya berjaya dibawa keluar dari lori tersebut dengan bantuan bomba kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.
Mangsa, Mohd Azrifazrin Abdul Razak, berusia 35 tahun dipercayai gagal mengawal lori dipandunya berikutan keadaan jalan licin.
(Mayat mangsa, Mohd Azrifazrin Abdul Razak dibawa keluar oleh bomba/FOTO RTM)