fb fb fb fb fb

Bekalan air di Manjung dan Perak Tengah dijangka pulih sebelum Sabtu

(FOTO RTM)

IPOH, 3 April-Masalah bekalan air yang menjejaskan penduduk di daerah Manjung dan Perak Tengah dijangka pulih sepenuhnya sebelum 8 April (Sabtu) depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerja-kerja baik pulih kerosakan di kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang sedang giat dijalankan.

"Hari ini kita cuba sedaya-upaya sebelum 8 April dapat kita sempurnakan kerja-kerja baik pulih bagi memudahkan kita kembali pulihkan bekalan air ke tempat-tempat yang terjejas", jelasnya yang ditemui selepas melakukan tinjauan di Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 79,360 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat paip air mentah bocor di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Air Perak (LAP), kebocoran itu berpunca daripada pergerakan tanah di muka sauk sehingga mengalihkan kedudukan paip air mentah bersaiz 1,200 milimiter (mm) diameter di dalam tanah menyebabkan paip tersebut putus dan air mentah tidak dapat disalurkan ke loji rawatan air.


(Exco Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri
Mohammad Nizar Jamaluddin/FOTO RTM)

Media Baharu