fb fb fb fb fb

Kajian tentang 'Lemon Law' telah bermula, siap pada September

Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan 'Lemon Law' sedang dijalankan bersama kumpulan perunding pakar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian tersebut telah bermula.

Ia bagi penambahbaikan susulan beberapa aduan daripada banyak pihak, untuk memberi perlindungan yang komprehensif kepada pengguna bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) di bawah kawal selia KPDN.

"Kajian ini telah bermula pada bulan Jun 2024 dan dijangka selesai pada bulan September 2024.

"Hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar, sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau memerlukan kepada penggubalan perundangan baharu.

"Sebagai usaha yang berterusan, KPDN akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam usaha ini," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat di sini.

Dalam pada itu, Armizan berkata peruntukan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang yang gagal membekalkan barangan mematuhi gerenti yang ditetapkan, telah termaktub dalam Akta 599.

Bagaimanapun, dapatan awal KPDN menunjukkan, terdapat ciri-ciri peruntukan mengenai 'Lemon Law' di bawah beberapa akta dan peraturan, yang merentasi kementerian serta agensi di Malaysia.

Antara yang dikenal pasti termasuk Akta Kontrak 1950 (Akta 136), Akta Jualan Barangan 1957 (Akta 382) dan Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212).

Sehubungan itu, Armizan memberi jaminan, pihaknya akan melaksanakan sesi libat urus secara berterusan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan  pengguna mendapat perlindungan yang sewajarnya dalam hal ehwal pembelian kenderaan.

"Ini termasuklah penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 yang telah diadakan pada 4 Jun lalu, bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh berkenaan cadangan pengukuhan perundangan berkaitan 'Lemon Law' di Malaysia.

"Bersandarkan kepada simposium tersebut, didapati semua pihak termasuklah industri memberi maklum balas positif untuk memperkukuhkan perlindungan hak kepenggunaan melalui 'Lemon Law', sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara," kata Armizan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM