PENDANG, 2 Jun 2025 –Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, MCPF Negeri Kedah dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia, UUM akan berkolaborasi melakukan kajian bagi mengenalpasti punca peningkatan aktiviti penagihan dadah di daerah tersebut.
Pengerusi MCPF Negeri Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, perbincangan awal bersama pihak UUM telah diadakan baru-baru ini untuk membentuk kerjasama strategik yang lebih sistematik dalam usaha membanteras gejala sosial itu.
“Kita sedang menunggu bajet untuk melaksanakan kajian ini secepat mungkin. Daripada data yang diperoleh, kita akan kenal pasti kawasan atau kelompok mana yang perlu diberi perhatian.
“Selama ini, pendekatan seperti ceramah telah lama dilakukan, namun keberkesanannya agak terhad. Kini kita mahu pendekatan lebih dekat – secara kecil-kecilan, melibatkan 20 hingga 30 individu dalam satu sesi, supaya kita boleh beri nasihat peribadi dan bantuan lebih berfokus,” katanya.
Jelas beliau, hasil kajian tersebut akan digunakan untuk mencari mekanisme terbaik bagi mengurang dan membasmi gejala penagihan dadah terutama melibatkan golongan remaja dan belia.
Tambah beliau, kajian itu bukan hanya tertumpu kepada isu dadah semata-mata, malah turut melibatkan penyalahgunaan ketum dan masalah perjudian dalam talian yang turut menyumbang kepada kerosakan sosial di kawasan tersebut.
Dr. Zulkifly berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan mesin pemotong rumput dan bantuan kepada pasukan bola sepak belia di Rimba Rekreasi Sungai Rambai, Bukit Perak, di sini.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan bahawa Pendang terus mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini iaitu 1,798 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.
Ia menunjukkan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun sebelumnya.
Berdasarkan statistik terkini pada tahun 2024, daerah Pendang masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah paling banyak di negara ini iaitu 1,789 penagih bagi setiap 100,000 penduduk.