KUCHING, 6 Julai- Kajian mengenai tahap kemiskinan di Sarawak dijangka lengkap menjelang November ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian data kadar kemiskinan kini sedang dijalankan oleh unit perancangan ekonomi, EPU Sarawak.
Beliau berkata, ia bagi memastikan senarai penerima eKasih dapat dikemas kini dan mengeluarkan senarai penerima yang telah keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Ada di antara mereka yang senang, tapi masih menerima eKasih, jadi kajian data yang kita buat ini akan siap pada November dan akan ada angka yang betul,"katanya.
Kajian data terbabit juga akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri kelak.
Tan Sri Abang Johari bercakap demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching.
Dalam pada itu beliau yang juga Presiden PBB turut memaklumkan parti itu akan mengadakan konvensyen pada awal tahun depan.
Jawatankuasa induk bagi mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Douglas Uggah Embas.
Antara fokus konvensyen itu, penubuhan sayap baru PBB iaitu sayap belia merangkumi ahli-ahli yang berumur antara 18 dan 28 tahun yang dijangka akan memperkukuhkan kekuatan parti.