(Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan hadiah berupa alat tulis dan peralatan
mewarna untuk kanak-kanak mangsa banjir yang berlindung di PPS diĀ Kampung Chedong)
MARAN, 3 Mac- Kerajaan diminta mengkaji dengan lebih terperinci punca berlakunya banjir serta mencari jalan penyeselaian jangka pendek dan panjang.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bebanan banjir perlu dikurangkan dan kerajaan perlu mencari jalan mengatasinya.
Ini termasuk projek tebatan banjir dan usaha mendalamkan sungai terutama di Sungai Pahang.
"Kita perhatikan Sungai Pahang dah nampak cetek sangat sepanjang tahun. Bila musim banjir dia melimpah ke tebing-tebing berhampiran. Mungkin segi teknikalnya perlu buat kajian oleh pihak JPS, soal kos itu kita fikir kemudian. Kita perlu cari punca sebab berlaku banjir setiap tahun,setiap bulan, setiap minggu," titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah baginda, kajian juga perlu dibuat secara menyeluruh termasuk di sungai-sungai kecil dan parit di kawasan bandar di samping memastikan penyelenggaraan dilasanakan dengan baik.
Al Sultan Abdullah turut mengingatkan penghuni di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) agar menjaga kebersihatan dan keselamatan masing-masing agar tidak berlaku perkara tidak diingini.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menziarahi PPS Kampung Baru Sungai Chedung di sini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Turut hadir; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak serta Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan.
Seramai 203 penduduk terjejas daripada 47 keluarga berlindung di PPS itu sejak Rabu lalu.
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mencemar duli ke PPS Arena Maran yang menempatkan 133 penduduk terjejas, terdiri daripada 41 keluarga.
(Kaji punca banjir, cari penyelesaian jangka pendek dan panjang - titah Agong)