fb fb fb fb fb

Kafetaria TH hilangkan rindu makanan Malaysia

MAKKAH, 27 Jun - Mengambil inisiatif memenuhi citarasa Malaysia, Tabung Haji (TH) turut menyediakan kafetaria berbayar kepada jemaah untuk bersarapan atau mendapatkan pilihan pelbagai jenis makanan.

Kafetaria yang beroperasi di bangunan penginapan Abraj Al-Janadriyah dan Land Premium menyediakan pelbagai jenis kuih-muih, makanan berat seperti nasi dan air minuman selain barangan asas pembangkit selera bagi membolehkan jemaah menghilangkan kerinduan makanan Malaysia.

Menurut penyelia kafetaria, ia turut membantu usahawan dari Malaysia dengan menggunakan produk-produk mereka di sini.

 


(Jemaah Malaysia memilih juadah di kafetaria Tabung Haji)

"Kali ini kita ada membawa produk dari Malaysia untuk membantu usahawan Malaysia mengembangkan produk mereka di tanah suci ini. Selain itu kafetaria ini juga kita sediakan makanan yang berasaskan dari Malaysia. Contohnya nasi lemak, mee goreng dan bihun goreng. Selain itu kita menyediakan air juga dari Malaysia seperti teh tarik dan sebagainya," katanya.

Kafetaria dibuka awal pagi sehingga pukul 11.00 malam dan mampu memenuhi permintaan jemaah Malaysia pada setiap hari.

Sementara itu beberapa jemaah haji yang ditemui media turut memberi pandangan positif dengan kemudahan kafetaria yang disediakan TH.

"Kita pun tahu, barang mahal, tidak mengapa ini semua sudah bagus. Alhamdulillah ada kafetaria ini memudahkan kita, turun dari bilik tidak perlu pergi jauh, sini ada pelbagai makanan," kata Zainab Ahmad dan Zahrah Baharom.

"Dekat sini dia ada jual kicap, anak saya tidak boleh makan tanpa kicap, jadi bila ada kicap ini, alhamdulillah mereka boleh makan dengan berselera,"kata Andik Radhiah Aziz.

"Syukurlah kita tidak perlu keluar lagi, balik sembahyang Zohor, kita dah ada kafe sini, jadi boleh terus sarapan," kata Selamat Isnin.

"Memenuhi selera rakyat Malaysia, sebab kita sudah biasa makan makanan Malaysia, kalau rindu pun senang, dekat sini boleh pilih pelbagai juadah," kata Suriana Ibrahim.

Media Baharu