fb fb fb fb fb

Kadar tarif elektrik bergantung cabaran infrastruktur di Sabah

(Projek Pencawang Masuk Utama (PMU), Tanjung Lipat dijadual siap pada tahun ini/FOTO FB Nik Nazmi)

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kadar tarif elektrik di Sabah bergantung kepada faktor kos bahan api dan cabaran infrastruktur pembangunan bekalan elektrik di negeri itu.

Katanya, penyerahan tarif elektrik itu akan dilaksana secara berfasa mulai 1 Januari 2024 dan fasa kedua pengambilalihan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) yang dijangka pada 2030.

Tambah beliau, agak mustahil bagi kerajaan Persekutuan, mahu pun kerajaan negeri memberi sebarang jaminan berhubung kadar tarif berkenaan, setelah proses penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada negeri itu selesai kelak.

“Pembangunan bekalan elektrik di Sabah yang sebagaimana kita tahu berdepan cabaran khususnya di Pantai Timur kerana tidak mempunyai infrastruktur sumber tenaga bahan api sebagaimana ada di Pantai Barat Sabah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ali Biju (PN-Saratok) di Dewan Rakyat hari ini.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melawat ke
Tapak Pencawang Masuk Utama (PMU) Tanjung Lipat di Kota Kinabalu/FOTO Nik Nazmi)

Ahli Parlimen Saratok itu ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan pengguna elektrik di Sabah tidak terbeban dikenakan tarif lebih tinggi.

Namun demikian Nik Nazmi berkata, SESB telah diberikan subsidi yang besar daripada kerajaan Persekutuan pada 2021 iaitu sebanyak RM711 juta.

Katanya ia merangkumi RM368 juta untuk subsidi bahan api, subsidi solar (RM310 juta) dan subsidi sokongan tarif sebanyak RM32.4 juta.

Tambahnya, bantuan itu membolehkan SESB mengekalkan tarif asas di Sabah yang rendah berbanding semenanjung iaitu pada kadar 34.52 sen/kWj.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari lalu mengumumkan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik negeri Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah ditetapkan pada 1 Januari 2024.

Media Baharu