fb fb fb fb fb

Kadar subsidi kerajaan akan dipaparkan dalam akaun bil elektrik bulan depan

(Foto hiasan/ BERNAMA)

BUKIT GANTANG, 12 Julai- Kadar subsidi yang ditanggung kerajaan untuk tarif elektrik akan dipaparkan dalam akaun bil pengguna bermula bulan depan.

Menteri Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini bagi memberi penjelasan dan kesedaran kepada pengguna mengenai pemberian subsidi tarif elektrik.

Jelas beliau, rakyat perlu diberi kefahaman bahawa kerajaan ketika ini bukan sahaja terpaksa menanggung kos tambahan bagi penjanaan elektrik, malah masih mampu memberikan rebat bagi mengurangkan beban pengguna.

"Sebelum ini rakyat tidak dapat melihat kadar subsidi yang ditanggung kerajaan, namun mulai bulan depan nilai itu akan disertakan dalam bil,

"Sekiranya jumlah elektrik yang digunakan sebanyak 300 kilowat/jam (kWj), subsidi yang diberikan akan tertulis di situ," jelasnya kepada pemberita pada Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) bersama KeTSA di Padang Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong, Bukit Gantang.

(Menteri Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan)

"Rakyat perlu cakna bahawa jumlah elekterik yang perlu dibayar hanya mengikut keperluan sahaja, selebihnya ditanggung oleh kerajaan," tambahnya lagi.

Jelas Takiyuddin, kos penjanaan elektrik bagi Januari hingga Jun tahun ini telah mencecah RM7 bilion dan daripada jumlah tersebut kerajaan telah menanggung RM5.8 bilion.

Manakala RM1.2 bilion lagi diagihkan kepada industri-industri besar.

Media Baharu