KUALA LUMPUR, 14 Mac- Kementerian Sumber Manusia mencadangkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dalam masa terdekat.
Ini susulan situasi ekonomi negara ketika ini yang bertambah baik berdasarkan perkembangan perniaagaan yang menunjukkan trend pemulihan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, peningkatan kadar gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat dan memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.
"Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar yang lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang
semakin meningkat,
"Namun begitu kadar gaji minimum yang baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan. Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat tahun 2021," jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.
(Gambar Hiasan)
Tambahnya, peningkatan itu dapat dicapai dengan bantuan kewangan Kerajaan kepada pihak majikan bagi meneruskan operasi perniagaan serta mengekalkan pekerja.
"Berdasarkan unjuran dalam dokumen Belanjawan 2022, prestasi ekonomi dijangka akan berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun 2022," katanya lagi.
Namun jelas Saravanan, peningkatan kadar gaji minimum yang terlalu tinggi dan drastik boleh menjejaskan daya saing negara menyebabkan pasaran buruh negara akan berdepan dengan cabaran untuk mencipta pekerjaan baharu yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.