fb fb fb fb fb

KADA sasar siap tuaian padi dalam dua minggu, elak risiko banjir

Sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan KADA 2025 di Tunjong, Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Oktober - Kerja-kerja penuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi bagi mengelak hasil tanaman terjejas akibat musim tengkujuh.

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, setakat ini kira-kira 2,500 hektar atau 10 peratus kawasan tanaman padi bawah kelolaan agensi itu sudah dituai, manakala baki 15,000 hektar lagi dijangka selesai menjelang awal bulan depan.

"Ramalan Jabatan Meteorologi menjangkakan hujan lebat bermula awal November, jadi proses tuaian dijangka sempat dilakukan.

"Memang terdapat sebahagian petani yang lewat menanam padi, namun mereka juga akan percepat tuaian sebelum kawasan sawah berisiko dinaiki air," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan KADA 2025 di sebuah pasar raya di Tunjong di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM1.03 juta kepada 42 penerima terdiri daripada pelbagai usahawan agensi berkenaan.

Menurut Khalid, sebanyak 25,101 hektar atau 94 peratus kawasan padi ditanam sepanjang musim ini dan purata hasil kekal antara empat hingga 4.5 tan sehektar, menunjukkan prestasi pengeluaran yang stabil biarpun berdepan cabaran cuaca panas dan serangan rumpai.

"Laporan rasmi KADA juga membuktikan pengeluaran padi kekal stabil dengan hanya 12.7 peratus kawasan mengalami serangan rumpai, manakala kemusnahan sebenar direkodkan pada kadar amat rendah iaitu 0.18 peratus.

"Serangan penyakit hawar daun bakteria pula hanya melibatkan 0.7 peratus kawasan dengan kemusnahan 0.26 peratus," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI