fb fb fb fb fb

Pembinaan empangan baharu tangani banjir di jelapang padi - KADA

Karnival Usahawan KADA 2025 di Tunjong, Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Oktober - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memerlukan pembinaan sebuah empangan bagi menangani masalah banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi bawah seliaan agensi itu.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad memaklumkan, perkara tersebut bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala tanggungjawab KADA adalah memastikan bekalan air ke sawah mencukupi.

"Setakat ini, KADA telah mengemukakan cadangan pembinaan empangan berkenaan kepada pihak atasan agar dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) melalui perancangan JPS.

"Pelbagai langkah telah dilakukan bagi meningkatkan keupayaan pengairan untuk menghadapi musim kemarau namun persiapan bagi menangani musim tengkujuh masih lagi terhad kerana memerlukan infrastruktur berskala besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan KADA 2025 di Tunjong, di sini hari ini.

Khalid turut memaklumkan bahawa KADA hanya boleh membantu dengan membawa pam untuk mengeringkan kawasan terjejas.

Bagaimanapun beliau berharap agar ada projek yang benar-benar dirancang untuk menangani banjir di kawasan jelapang padi.

Kebimbangan utama kini tertumpu kepada ancaman banjir yang boleh menjejaskan hasil padi sekiranya tiada tindakan jangka panjang diambil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI