PERAK, 23 Oktober - Lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini setakat pukul 10 malam tadi di daerah Larut, Matang dan Selama serta Manjung.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, setakat ini dua PPS telah dibuka di Manjung.
"Ketika ini 180 penduduk daripada 44 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis.
"Manakala jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai yang dibuka pukul 8.30 malam tadi sedang dikemas kini kerana masih dalam proses pemindahan," jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu di Taiping, enam PPS telah dibuka bagi menghadapi kemungkinan banjir dan peningkatan paras air di daerah Larut, Matang dan Selama.
"PPS yang telah dibuka ialah Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Perdana Trong, Sekolah Kebangsaan Simpang, Masjid Alie Rouse dan dewan serbaguna Masjid Al Wusta Batu 8.
"Bagaimanapun jumlah penduduk terkesan dalam proses kemas kini kerana pemindahan sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat," menurut kenyataan berkenaan.
Beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan bagi membantu operasi pemindahan dan pemantauan di kawasan terjejas.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di Perak, Pahang, Sarawak dan Sabah serta di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Labuan hingga 1 pagi (24 oktober).