KOTA BHARU, 28 April- Seramai 1,365 pesawah yang terkesan dengan bencana banjir luar musim Februari lalu bakal dibantu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) selepas Aidilfitri nanti.
Bencana luar musim itu mengakibatkan kerugian berjumlah RM26.19 juta, melibatkan tanaman seluas 4,800 hektar.
Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor, berkata pihaknya sudah memohon bantuan daripada kerajaan melalui “Tabung Bencana Tanaman Padi” dan mendapat respon positif.
Katanya, dianggarkan 25 peratus petani terkesan dalam kalangan golongan B40 melibatkan beberapa daerah di negeri itu antaranya Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.
"Kita dah angkat kepada kementerian memohon bantuan, Yang Berhormat Menteri pun ada buat kenyataan bahawa kerajaan akan bantu tapi oleh kerana ini perlu kepada peruntukan khas dia usahakan untuk dapatkan daripada MOF (Kementerian Kewangan). Sebaik sahaja dapat disalurkan pada kita, akan kita salurkan segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Berbuka Puasa Media bersama Pengerusi KADA di Kota Bharu.
(Keadaan bencana banjir luar musim Februari lalu/ Gambar Fail )