fb fb fb fb fb

K-KOMM pertingkat jaringan telekomunikasi, kawalan keselamatan di Sabah - Annuar

(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berucap pada program Jelajah
Saya Digital Sembang Santai Keluarga Malaysia sempena lawatan kerja rasmi di Sabah)

KOTA KINABALU, 11 September - Peningkatan jaringan telekomunikasi dan kawalan keselamatan antara intipati sepanjang lawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Sabah.

Juga, fokus terhadap usaha pendigitalan ekonomi dalam kalangan usahawan menerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) selain pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

Lawatan empat hari bermula 8 September dimulakan dengan kunjungan ke pantai timur Sabah di Tawau bagi menyempurnakan watikah pelantikan PEDi sebelum mengadakan lawatan ke empat pos kawalan keselamatan di Semporna.

"Lawatan ke Zon 6, perhatian juga akan tertumpu pada pasukan media untuk melihat operasi keselamatan di Sabah dari sudut keselamatan perairan Sabah perlu dipertingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan akan terus mempertingkatkan tentang keselamatan di wilayah atau di Zon ESSCOM pada masa sama kita ingin memastikan bahawasanya rakyat di Sabah dapat mengetahui kesungguhan kerajaan menjaga kedaulatan negara dalam perkara ini," jelas beliau.

Annuar juga berkesempatan menyantuni penduduk setempat menerusi program Merdeka@komuniti Mabul sebelum berkunjung ke Pulau Bum-Bum bagi meninjau tapak menara telekomunikasi di Kampung Balimbang.

Dalam Jelajah Saya Digital Sembang Santai Keluarga Malaysia, beliau menekankan penyertaan usahawan tempatan dalam setiap platform ekonomi digital negara.


(Tan Sri Annuar Musa menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi PEDi di Kota Kinabalu)

"Kita baharu lancarkan harga jualan murah, kita buat jualan murah yang berasaskan konsep pendigitalan, kerajaan dah buat Jualan Murah Keluarga Malaysia, sekarang kita ada jualan murah @Ddagang di mana kalau kita ada usahawan-usahawan nak masuk dalam platform e-commerce (dagang), kadang-kadang mestilah ada latihan kadang-kadang kita buat bayaran dulu kepada Lazada, kepada Shopee dan sebagainya dan kadang-kadang platform e-dagang yang berpangkalan di luar negara," kata beliau.

Sementara itu ketika menghadiri Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi PEDi di Kota Kinabalu, Annuar menyeru syarikat telco supaya tidak membuat pembahagian kawasan untuk perkhidmatan masing-masing, sebaliknya mengguna pakai konsep perkongsian satu menara.

Lawatan kerja rasmi beliau diteruskan ke sesi pengagihan 493 PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar Politeknik Kota Kinabalu.

Mengakhiri lawatannya ke negeri di bawah bayu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkesempatan meninjau pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia.

"Setakat ini program berjalan dengan baik tetapi ruang penambahbaikan masih banyak, pertama sekali jumlah kedai di setiap DUN itu masih lagi berada pada tahap 50 ke 60 peratus dan kita telah memberi tarikh akhir menjelang 15 September, kita mahu 639 tempat dan 20 buah kampus itu perlu dilaksanakan," tambah beliau.

Media Baharu