fb fb fb fb fb

Juruterbang pelatih cedera ringan, pesawat tergelincir dari landasan

(Keadaan pesawat latihan jenis Diamond-14 yang terbabas
ketika mendarat di LTAL, Langkawi pada malam Rabu/FOTO JBPM KEDAH)

LANGKAWI, 30 Mac- Seorang juruterbang pelatih wanita cedera ringan selepas pesawat latihan jenis Diamond-14 yang dipandunya terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kemalangan terbabit daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi pada jam 8.15 malam.

"Sebanyak dua jentera, satu EMRS dan satu 'water tanker' dari BBP Langkawi kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah pesawat latihan jenis Diamond-14 yang tergelincir daripada landasan ketika pesawat sedang mendarat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

"Juruterbang pelatih berkenaan yang merupakan seorang wanita berusia 28 tahun dipercayai mengalami kecederaan ringan pada pinggang dan lutut kedua-dua belah kaki.

"Mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba lapangan terbang dan pasukan bomba membuat pemantauan dan menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk rawatan lanjut," katanya.

(Anggota bomba memeriksa pesawat latihan jenis Diamond-14 yang terbabas ketika mendarat di LTAL, Langkawi/FOTO JBPM KEDAH)

Sementara itu, memetik laporan Bernama, susulan kejadian terbabit, sekurang-kurang dua penerbangan dari Langkawi terkandas.

Antara penumpang yang terlibat adalah beberapa pengamal media yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Program Pemukiman AJK Kelab Media Se-Malaysia 2022 yang bermula pada 28 hingga 30 Mac.

Menurut Setiausaha Kelab Media Putrajaya, Samantha Tan Chiew Tieng, 40, dia sepatutnya berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menuju Ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 8.10 malam.

"Ketika ini saya bersama penumpang lain masih berada dalam kapal terbang dan sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak lapangan terbang.

"Walau bagaimanapun, keadaan terkawal dan anak kapal telah mengedarkan makanan kepada penumpang," katanya kepada Bernama.


Media Baharu