fb fb fb fb fb

Jurusan komunikasi, kewartawanan di IPT harus dikaji semula

MELAKA, 29 Mei- Modul bagi jurusan melibatkan komunikasi ataupun kewartawanan yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) harus dikaji semula supaya dapat disesuaikan dengan keperluan industri, kata Pengarah Editorial Free Malaysia Today Jasbant Singh Partap Singh.

Beliau berkata modul itu perlu ditambah baik selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat ketika ini bagi memastikan kemajuan sesebuah organisasi media tidak terencat kerana mengambil masa yang lama untuk membimbing wartawan baharu.

“Perubahan teknologi yang mendadak pada hari ini, anda tidak perlukan camera yang besar, tiga atau empat orang keluar satu assingment (tugasan). Seorang wartawan yang mempunyai kemahiran secukupnya boleh menghantar laporan bertulis, audio dan video dari lokasi dengan menggunakan telefon pintar, itu realiti hari ini.

“Untuk media tradisional dan media sosial di Malaysia kekal relevan, kita kena menguasai teknologi dan tempat yang paling sesuai untuk menguasai teknologi haruslah di institusi pengajian tinggi kita. Itulah tempat untuk bermula, jurusan komunikasi, kewartawanan harus dikaji semula, disesuaikan dengan keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertama Forum Media Nasional dengan tema ‘Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang’ bertajuk ‘Memahami Perubahan Landskap Media dan Kewartawanan Model Baru: Cabaran Kelestarian’ bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sini hari ini.

Jasbant Singh merupakan seorang daripada tiga panel yang terlibat pada forum itu. Dua lagi ahli panel ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Azlan Jaafar dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.com Premesh Chandran.

Sementara itu, Azlan berkata satu kesepakatan dan keazaman diperlukan bagi memastikan kandungan yang dihasilkan pembekal kandungan bahan berita mendapat bayaran setimpal apabila ia digunakan dalam platform enjin carian digital seperti Google.

Beliau berkata dengan perubahan medium berita kepada era digital, sudah pasti kandungan berita kini bukan hanya mementingkan kualiti tetapi apa yang sedang tular di 'alam' media sosial.

"Jadi, setiap hari pembekal kandungan akan kejar ‘page view’. Kandungan itu adalah 'ibu' kepada syarikat pengeluar tapi keuntungan adalah perkara yang perlu agar kelangsungan penghasilan berita dapat dipastikan," katanya.

Sebahagian para wartawan yang hadir pada Forum Media Nasional
sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 hari ini

Justeru, Azlan mencadangkan platform seperti Google ‘dipaksa’ membayar kepada pembekal kandungan, ataupun cukai dibayar kepada pembekal kandungan dengan memberi contoh Australia yang menggunakan pendekatan itu.

Dalam pada itu, Premesh berkata kerjasama antara media adalah penting terutama dalam mendapatkan dana bagi kelangsungan industri media di Malaysia.

"Kita sudah melihat banyak syarikat yang terpaksa berubah seperti Utusan (Malaysia) dan Malay Mail kerana krisis. Jadi kena ada cara baharu untuk buat perniagaan dalam industri ini," katanya.

Sambutan kemuncak HAWANA 2022 yang bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

Media Baharu