fb fb fb fb fb

Unit dan makmal bergerak Jabatan Kimia, mudahkan kajian dan siasatan terus di lokasi

KOTA TINGGI, 29 Mei- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan Dua Unit Bergerak Jabatan Kimia di Johor Bahru, Johor dan Bintulu, Sarawak yang melibatkan kos RM200,000 setiap satu.

Turut dibangunkan, sebuah makmal bergerak yang ditempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Kimia, di ibu negara dengan kos RM10 juta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, unit dan makmal bergerak itu membolehkan kajian dan siasatan, terutamanya berkaitan pencemaran dilaksana terus dan segera di lokasi kejadian.

"Kita yakin dengan ada asas dan kejayaan kedua- dua tempat 'mobile unit 'boleh diletakkan di setiap negeri, kita cuba mohon peruntukan daripada kerajaan untuk diadakan di setiap negeri," katanya selepas merasmikan Program Kimia Ke Desa di Kampung Semangar Dalam, Kota Tinggi.

Makmal bergerak dijangka mula beroperasi hujung tahun depan, manakala Unit Bergerak pada awal tahun depan.


(Datuk Seri Dr Adham Baba merasmikan Program Kimia Ke Desa di Kampung Semangar Dalam, Kota Tinggi)

Dalam pada itu, Dr Adham memaklumkan, penduduk desa yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana berasaskan makanan, pertanian serta pengusaha ternakan lebah kelulut boleh memohon khidmat Jabatan Kimia untuk menganalisis sampel produk dihasilkan.

Ini bagi memastikan kualiti dan keselamatan sampel dipasarkan mengikut piawaian ditetapkan seterusnya memastikan produk mereka lebih kompetitif.

"Saya mahu lebih banyak sesi libat urus dan perbincangan diadakan khususnya bersama persatuan peladang, penternak atau petani bagi mencapai kata sepakat menyediakan program kampung serta mengetengahkan penyelesaian masalah yang membelenggu mereka," ujarnya.

Jelas beliau, MOSTI akan memastikan semua kepakaran yang ada di bawah portfolionya disalurkan kepada rakyat, seterusnya memberi manfaat khususnya membantu meningkatkan mata pencarian mereka.

Media Baharu