KUALA LUMPUR, 12 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua jururawat di seluruh negara agar terus memberikan khidmat cemerlang dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.
Bersempena sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2025, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jururawat atas jasa, keprihatinan dan dedikasi yang tidak ternilai.
"Saat kita sedang lena berehat, merekalah yang berjaga sepanjang malam memantau pesakit. Saat kita meluangkan masa bersama keluarga, merekalah yang berdiri teguh di wad, bilik rawatan dan ambulans, menyantuni insan yang tidak mereka kenali dengan penuh ihsan.
“Semoga Allah SWT merahmati setiap usaha murni kalian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau menegaskan jururawat merupakan barisan hadapan yang sentiasa bersedia tanpa mengira masa dan keadaan demi memastikan kesejahteraan rakyat.
Hari Jururawat Antarabangsa disambut pada 12 Mei setiap tahun bagi menghargai sumbangan para jururawat kepada masyarakat.