
KUALA LUMPUR, 2 November – Jurugambar Muhammad Faizal Abdul Aziz berjaya menuntut tunggakan pendapatannya daripada entiti kontrak yang gagal dibayar menerusi Tribunal Pekerja Gig (TPG).
- Tribunal memerintahkan pembayaran baki penuh pendapatan terhutang beserta faedah lapan peratus sehingga tarikh pembayaran penuh dan kos RM500.
- Kes didengar di hadapan Puan Faizah Binti Mohd Salleh, Presiden Tribunal Pekerja Gig, di Menara PERKESO, Putrajaya.
- TPG dan Akta Pekerja Gig 2025 memperkukuh perlindungan serta menyediakan saluran penyelesaian adil untuk pekerja gig pelbagai kategori perkhidmatan.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dicapai selepas proses pendengaran kes antara Muhammad Faizal dan Pendekar Nomad Enterprise pada 27 Oktober lalu.
“Prosiding berkenaan dibuat di hadapan tribunal dengan kedua-dua pihak diberikan peluang sewajarnya untuk mengemukakan keterangan, dokumen serta hujahan masing-masing.
“Setelah meneliti keseluruhan fakta dan keterangan yang dikemukakan, tribunal telah memutuskan tuntutan tersebut memihak kepada pekerja gig dengan memerintahkan pembayaran baki penuh pendapatan yang masih terhutang bagi perkhidmatan yang telah diberikan bersama faedah sebanyak lapan peratus sehingga tarikh pembayaran penuh.
“Tribunal turut membenarkan kos sebanyak RM500 dibayar kepada pekerja gig. Tribunal telah memutuskan tuntutan tersebut memihak kepada pekerja gig setelah meneliti keseluruhan fakta,” menurut kenyataan itu.
Kes didengar di hadapan Puan Faizah Binti Mohd Salleh, Presiden Tribunal Pekerja Gig di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Putrajaya.
Keputusan itu memperlihatkan bahawa pekerja gig mempunyai saluran yang sewajarnya bagi mendapatkan sebarang penyelesaian berkaitan pekerjaan gig.
Akta Pekerja Gig 2025 melindungi pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan entiti kontrak bukan penyedia platform melibatkan sembilan kategori perkhidmatan meliputi pekerjaan seperti jurugambar, pelakon, petugas pengeluaran filem, penyanyi, pemuzik, penggubah, penulis lirik, jurusolek, pendandan rambut, jurugaya, jurubahasa isyarat, jurubahasa atau penterjemah, jurutrengkas, wartawan, pemberita sambilan, pemberi jagaan dan juruvideo.
Penubuhan TPG dilihat sebagai mekanisme penting dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara sekali gus memastikan pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak dapat diselesaikan secara adil saksama, teratur dan berkesan.
KESUMA menerusi TPG komited memastikan setiap pihak yang hadir di hadapan tribunal berpeluang mengemukakan kes secara adil mengikut peruntukan undang-undang.