fb fb fb fb fb

Dugaan Aidilfitri, 43 rumah rosak akibat ribut di Perlis

KANGAR, 17 April- Jumlah rumah yang rosak akibat ribut di Perlis meningkat kepada 43 berbanding 22 yang dikenal pasti petang semalam.

Kerosakan membabitkan 19 buah rumah di Seriab, 17 di Behor Temak, dua di Long Boh, serta masing-masing satu di Sungai Bugis, Binjal, Kampung Che Ok dan Tambun Tulang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, pihaknya sedang menyelaras dan mendapatkan anggaran sebenar kerosakan setiap rumah terlibat.

"Bagi yang mengalami kerosakan kecil, bantuan membaiki kediaman akan diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala bagi kerosakan besar akan diselaras oleh MAIPs.

Pihak MAIPs menyeru sekiranya masih ada mangsa yang belum membuat laporan polis agar segera berbuat demikian serta memaklumkan kepada wakil MAIPs di kariah iaitu amil atau Pengurusan Jawatankuasa Kariah Masjid bagi tindakan segera," katanya.

(Keadaan bumbung sebuah rumah yang diterbangkan angin ketika ribut petang semalam)

Kejadian ribut yang berlaku pukul 3.00 petang semalam menyebabkan bumbung rumah diterbangkan selain struktur binaan runtuh.

Kangar dan Simpang Empat merupakan dua daerah yang paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Media Baharu