fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir tiga negeri meningkat

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 25 Disember- Situasi banjir di Kelantan semakin buruk dengan 8,209 penduduk terjejas melibatkan 2,527 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 6.00 petang tadi berbanding 6,008 orang setakat pukul 4.00 petang.

Menurut portal InfoBencanaJKM, enam daerah terlibat banjir iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli, Machang dan Gua Musang. 

"59 PPS dibuka di daerah terbabit. Jumlah paling ramai penduduk dipindahkan di Pasir Mas dengan 5,050 orang membabitkan 1,530 keluarga yang berlindung di 16 PPS. Di Tanah Merah, 1,570 orang daripada 452 keluarga berlindung di 17 PPS," kata InfoBencanaJKM.

Sementara itu, Public Infobanjir melaporkan empat batang sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya. 

Ini termasuk Sungai Kelantan di Kuala Krai 26 meter, Sungai Golok di Rantau Panjang 10.8 meter, Sungai Nal di Kuala Krai 27.6 meter dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, 25.17 meter.

Sementara itu, di Terengganu, 1,000 lagi penduduk dipindahkan setakat pukul 7.00 malam tadi menjadikan jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu meningkat kepada 3,325 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan Dungun paling tinggi iaitu 1,236 orang.

"Hulu Terengganu juga meningkat kepada 803 orang manakala Besut juga meningkat kepada 607 orang. Setiu kekal 306 orang, Kemaman 361 dan Marang kekal 12 orang.

Dalam pada itu di Pahang, jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu kini meningkat kepada 554 orang berbanding 511 orang setakat pukul 4.00 petang tadi melibatkan daerah Raub dan Lipis.
 
Kesemua mereka ditempatkan di 12 PPS.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dua sungai di Pahang kini melepasi paras bahaya membabitkan daerah Lipis dan Maran.
 
Sungai Kuala Medang, Lipis yang mencatatkan 85 meter mengatasi paras bahaya iaitu 84.91 meter dengan trend menurun.
 
Manakala Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran merekodkan bacaan 27.85 meter mengatasi paras bahayai iaitu 27 meter dengan trend menaik.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM