fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan elektrik di Yan pulih sepenuhnya 1 tengah hari tadi

Foto hiasan

ALOR SETAR, 25 Disember- Gangguan bekalan elektrik di Yan telah pulih sepenuhnya 1.00 tengah hari tadi.

Gangguan yang bermula pagi tadi itu, melibatkan sebanyak 3,214 akaun pengguna di daerah tersebut, namun telah pulih secara berperingkat.

Ia melibatkan 2,782 pengguna domestik, 415 komersial dan 17 industri.

Pengurus Besar Negeri, Tenaga Nasional Berhad TNB (Kedah & Perlis) Wan Ishak Soed melalui kenyataan berkata gangguan bermula pukul 10.57 pagi berlaku di sebahagian Daerah Yan dan kawasan sekitarnya melibatkan pelantikan sistem (system tripping) di Pencawang Masuk Utama, PMU Guar Chempedak.

Bekalan elektrik bagi 33 peratus pengguna awal diperolehi dalam tempoh 1 jam 22 minit, manakala 42 peratus pengguna terakhir dalam tempoh selama 2 jam 3 minit.

Katanya, gangguan bekalan elektrik di luar kawalan dan jangkaan TNB.

Punca berlakunya gangguan elektrik dalam siasatan Pasukan Teknikal TNB.

Sementara itu, seorang pengguna Jamaliah Sharib berkata tetamu jemputan kendurinya di Dewan Datuk Zamri Ibu Pejabat Polis Daerah Yan bergelap seketika akibat gangguan tersebut. Namun majlis tetap diteruskan dan berjalan lancar.

ROSLINA BINTI DIN