fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk Malaysia 33.4 juta didorong migrasi antarabangsa

(Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia) 

PUTRAJAYA, 31 Julai –Jumlah penduduk Malaysia pada tahun ini, dianggarkan sebanyak 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada tahun lalu, meningkat kira-kira 0.7 juta dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 2.1%.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, peningkatan kadar pertumbuhan penduduk disebabkan pertambahan bilangan penduduk Bukan Warganegara yang lebih tinggi iaitu meningkat daripada 2.5 juta (2022) kepada 3.0 juta (2023).

“Penduduk Warganegara meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta pada 2023 dengan pertumbuhan yang kecil iaitu 0.7% (2022: 0.6%)”,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Laporan itu memaparkan anggaran penduduk di Malaysia bagi tahun 2022 dan 2023; berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, 2020.

“Anggaran penduduk ini menggunakan kaedah komponen kohort yang meliputi kelahiran, kematian, migrasi dalaman dan migrasi antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.

Jelas MOhd Uzir, peningkatan kadar pertumbuhan penduduk ini turut berlaku di beberapa negara lain seperti Singapura (3.4%), Australia (1.9%), Germany (1.3%), Canada (0.7%) dan United States of America (0.5%).

Tambah Mohd Uzir, Tiga negeri iaitu Sabah (5.1%), W.P. Labuan (2.6%) dan Selangor (2.2%) telah melepasi kadar pertumbuhan nasional 2.1%.

“Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2023 ialah Selangor (21.6%) diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (10.8%). Sebaliknya, W.P. Labuan dan W.P. Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3% dan 0.4%”, kata Mohd Uzir.


(Sumber Jabatan Perangkaan Malaysia)
 

Sementara itu, komposisi penduduk warganegara berkurangan daripada 92.4% (2022) kepada 91.1% pada 2023. Ini menyumbang kepada peningkatan komposisi penduduk Bukan Warganegara daripada 7.6% kepada 8.9% dalam tempoh sama.

Peningkatan itu selaras dengan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April 2022 dan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 mulai Januari 2023.

Tahun ini, turut merekodkan penduduk lelaki melebihi perempuan iaitu masing-masing 17.5 juta dan 15.9 juta.

Nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Bagi tempoh 2022-2023, nisbah jantina Warganegara kekal pada 103 manakala Bukan Warganegara menurun daripada 227 kepada 226 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Secara keseluruhan, ke semua negeri di Malaysia mencatatkan lelaki melebihi perempuan kecuali bagi negeri Perlis (99) dan W.P. Putrajaya (98).

Negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah W.P. Kuala Lumpur dengan 115 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti Johor (114), Pahang (113) dan Selangor (113).

Dalam perkembangan sama, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6% pada 2022 kepada 70.0% pada 2023.

“%an penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.2 % kepada 7.4% bagi tempoh sama. Manakala, komposisi penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pada 2023 menurun kepada 22.6% berbanding 23.2 % pada 2022,” menurut kenyataan sama.

Manakala umur penengah penduduk Malaysia mencecah 30.7 tahun pada 2023 iaitu meningkat daripada 30.4 tahun pada tahun sebelum. W.P. Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda (0-14 tahun) pada 2023 tertinggi dengan 36.1%.

Manakala W.P. Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) tertinggi dengan 75.0%. Perak kekal sebagai negeri paling tua (9.7%), manakala Johor telah muncul sebagai negeri menua (7.0%) pada 2023.

Keseluruhan bumiputera menyumbang 70.1 % daripada 30.4 juta Warganegara pada 2023 (2022: 69.9%). Bagaimanapun, komposisi Cina menurun kepada 22.6% (2022: 22.8%) manakala India dan Lain-lain masing-masing kekal pada 6.6% dan 0.7%.

“Purata kepadatan penduduk Malaysia ialah 101 orang bagi setiap kilometer persegi. W.P. Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 8,235 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh W.P. Putrajaya (2,017 orang) dan Pulau Pinang (1,718 orang).

“Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (45 orang) dan Sabah (48 orang),” menurut kenyataan itu.

DOSM kini sedang menjalankan Banci Ekonomi pada tahun 2023 dan amat menghargai kerjasama daripada responden dalam memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan banci tersebut. Maklumat lanjut layari www.dosm.gov.my.

Media Baharu