ALOR SETAR, 31 Julai- Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencemar duli ke Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2023 di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara di sini.
Turut berangkat Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin; Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim.
Keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin disambut Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah Dr Robert Ling Kui Ei, mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali, Panglima Briged ke-6, Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Saipol Anuar Jaafar dan Ketua Polis Negeri Kedah Datuk Fisol Salleh.
Kemudian Baginda berkenan menerima Sembah Hormat Diraja dan mencemar duli memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga Pegawai dan 103 Anggota Lain-lain Pangkat dari Batalion Ke-2, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mazlan Daud.
Majlis yang berlangsung pagi tadi diteruskan dengan tiupan 'Paluan Akhir' dan pembacaan sajak bertajuk 'Pahlawan' oleh Koperal Mohd Sani Abdul Malik dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kedah.
Baginda kemudiannya mencemar duli bagi meneruskan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan seterusnya diikuti Raja Muda Kedah dan Tunku Mahkota Kedah.
Selesai istiadat Meletak Kalungan Bunga, Baginda sekali lagi berkenan menerima Sembah Hormat Diraja dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis.
Sembilan kontinjen terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia, (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis turut menyertai Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah.
(Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah)