fb fb fb fb fb

KKM umum SOP hari pengundian selewatnya dua hari sebelum mengundi

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KOTA BHARU, 31 Julai- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan berkaitan COVID-19 bagi enam negeri Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15)serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu selewat-lewatnya dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.

Menteri Kesihatan , Dr Zaliha Mustafa berkata perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan bagi memperhalusi SOP lebih spesifik semasa hari mengundi terutama membabitkan pengundi yang dijangkiti virus COVID 19.

"SOP COVID-19 setakat ini kita kekal mengikut garis panduan sedia ada seperti yang dibincangkan sebelum ini, bagaimanapun untuk hari mengundi pihak KKM akan jumpa dgn SPR untuk SOP lebih spesifik terutama untuk mereka yang didapati positif COVID-19. Perkara ini akan selesai segera sebelum hari mengundi dan kami akan umum dua, tiga hari sebelum mengundi 12 Ogos," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2022 kepada 1,363 penerima di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.


(Dr Zaliha pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2022 di Kota Bharu)

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai isu kekosongan jawatan doktor termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan perpindahan ke negeri, Dr Zaliha berkata setakat ini, seramai 675 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat latihan siswazah sudah ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara.

Beliau bagaimanapun berkata seramai 1,150 pegawai perubatan kontrak lagi akan ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara mulai esok.

"Memang akan ada sedikit pengurangan jumlah doktor sebab kami dah pindahkan mereka tetapi akan segera diisi kerana kami akan pastikan bahawa perkhidmatan kesihatan seluruh negara tidak akan terjejas dan sedang agihkan ikut keperluan bagi setiap fasiliti," katanya.

Media Baharu