KUALA LUMPUR, 26 Disember- Jumlah perdagangan industri ternakan di Malaysia meningkat 23.2 peratus bersamaan RM254.7 juta, kepada RM1.4 bilion pada tahun 2023.
Pertumbuhan itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ternakan dan produk berkaitan bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik dan industri.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, industri ternakan mencatat perkembangan dan pertumbuhan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sekali gus, memberi sumbangan signifikan kepada sektor pertanian negara.
"Bagaimanapun, industri ruminan masih didominasi sektor luaran, dibuktikan menerusi nilai import lembu hidup, biri-biri dan kambing.
"Industri ternakan menghadapi ketidakseimbangan perdagangan dengan jumlah import secara konsisten mengatasi jumlah eksport," katanya menerusi kenyataan.
Defisit perdagangan bagi produk ternakan, berjumlah RM849.1 juta tahun lalu.
Singapura kekal destinasi utama eksport, menyumbang 96.4 peratus daripada jumlah eksport ternakan, diikuti Vietnam dan Brunei.
Manakala, Australia, New Zealand dan Thailand, muncul destinasi utama import, secara kolektif menyumbang 84.8 peratus daripada jumlah import ternakan.
Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif untuk memastikan kemampanan sektor ternakan dan mengukuhkan rantaian bekalan.
Ini termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan, mengguna pakai teknologi pertanian termaju, dan mempelbagaikan sumber import.