KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Laporan polis kedua dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu oleh seorang individu mendakwa sebuah hospital di sini cuai mengendalikan bayinya berusia dua hari.
Bapa bayi berkenaan Muhammad Syarifuddin Manan, 24 bersama peguamnya Mohd Hazwan Hamidun hadir ke IPD Kuala Terengganu untuk membuat laporan.
"Saya sangat kecewa, laporan ini dibua untuk mendapatkan keadilan untuk anak saya dan juga untuk tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.
"Saya takut sekiranya perkara sama terjadi kepada orang lain. Saya kecewa sebab belum mendapat maklum balas positif daripada hospital berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 17 November lepas ketika urusan perpindahan bayi ke sebuah hospital lain yang terletak di sebuah daerah dalam negeri itu.
Ketika kejadian bayi berkenaan berada di dalam katil dipercayai telah terjatuh di sisi sebuah kenderaan hingga menyebabkan pendarahan di kepala.
Berikutan kejadian itu bayi berkenaan terpaksa menerima rawatan susulan hingga tiga kali dimasukkan ke sebuah hospital kerana serangan sawan yang disyaki berpunca daripada pendarahan di kepala.