KUALA LUMPUR, 26 Disember- Kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dilanjutkan ke fasa seterusnya bagi meningkatkan kesalinghubungan lebih baik.
Ia selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, kerjasama itu merangkumi pelaksanaan penyelesaian Metro-E TM One, sambungan jalur lebar yang fleksibel, selamat dan berprestasi tinggi.
Menerusi perkhidmatan tersebut, ia dapat menyediakan akses internet ke 81 lokasi, termasuk kawasan luar bandar.
"Projek selama lima tahun itu juga turut menawarkan internet berkelajuan tinggi yang menyokong sektor utama. Antaranya sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, dan perniagaan tempatan.
"Kemudahan itu bagi memudahkan pelaksanaan pengkomputeran awan, teleperubatan dan pendidikan dalam talian," katanya menerusi kenyataan.