fb fb fb fb fb

Langkah drastik, komprehensif diperlukan cegah kemalangan - NIOSH

Keadaan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan sebelum Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh menuju arah utara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyeru pihak berkepentingan untuk melaksanakan langkah drastik dan komprehensif dalam usaha mencegah kemalangan maut.

Naib Pengerusi NIOSH Manivanan Gowin dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu bagi mengelakkan kejadian berulang seperti yang berlaku di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara.

"Insiden ini mendedahkan kelemahan besar dalam sistem keselamatan yang memerlukan tindakan segera dan penguatkuasaan yang lebih ketat

"Tanggungjawab ini terletak bukan hanya pada pengusaha kenderaan berat, tetapi juga pada penguatkuasa undangundang dan semua pihak yang terlibat dalam industri pengangkutan," menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah tegas NIOSH turut mencadangkan penyelenggaraan berkala dan penguatkuasaan ketat yang tidak toleran; latihan dan kesedaran pemandu yang mesti diperkukuh; penggunaan teknologi pemantauan canggih; dan kerjasama strategik dan kolaborasi bersepadu.

Pada masa sama NIOSH memberi jaminan untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan serta mencari penyelesaian lebih efektif dan lestari.

"Pasukan ini bersedia menjalankan analisis teknikal, penyiasatan punca kemalangan, serta mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang tepat dan sesuai.

"NIOSH juga menawarkan kursus pemanduan berhemah dan latihan berkaitan ISO Pengurusan Trafik bertujuan meningkatkan kesedaran pemandu serta membantu organisasi dalam mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa
yang relevan," tambah kenyataan itu.

NIOSH juga menunjukkan komitmen untuk menjadi rakan strategik kepada semua pihak dalam memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap tertinggi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI