KANGAR, 28 Oktober- Jualan Rahmah yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis hingga kini memberi manfaat kepada lebih 140,000 rakyat di negeri itu.
Ini menerusi 130 program Jualan Rahmah di dalam premis perniagaan, dewan dan secara bergerak di kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh Perlis.
Menurut Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar, nilai jualan keseluruhan yang direkodkan hingga kini ialah sebanyak RM2,406,598.60.
Inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan setiap minggu menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah dan berpatutan sekali gus meningkatkan penjimatan perbelanjaan harian mereka.
"Berbanding pelaksanaan di premis perniagaan terpilih, program Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' kini dilihat lebih mendapat tumpuan berikutan diadakan berhampiran penempatan penduduk yang memudah akses." kata Norazah, di sini.
KPDN Perlis sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif Program Jualan Rahmah sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar.