fb fb fb fb fb

Minggu Solidariti Palestin di sekolah perlu dikawal, elak masalah - PM

Datuk Seri Anwar menegaskan tiada paksaan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan minggu Solidariti Palestin, meskipun ia digalakkan / Foto Bernama

DENGKIL, 28 Oktober - Penganjuran Minggu Solidariti Palestin di peringkat sekolah perlu diselia dengan baik agar tidak menimbulkan sebarang masalah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran sekolah untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung program anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

"Itu kita kena kawal, kita bincang dalam kabinet pertama kita galakkan tidak paksa sekolah-sekolah, keduanya kita kena kawal la supaya jangan jadi masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di Masjid As-Shariff di Kampung Dato Ahmad Razali, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tiada paksaan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin, meskipun ia digalakkan.

Sebelum ini, tular foto kanak-kanak yang memegang senjata mainan didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.

Badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai 'mengejutkan dan menakutkan'.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN