SEREMBAN, 26 Mei- Inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilihat membantu meringankan beban masyarakat terutamanya golongan B40.
Menurut Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, "program Jualan Rahmah Kasih Sayang Siri 2 yang dilaksana di Negeri Sembilan bermula hari ini sehingga Ahad, diharap dapat meringankan kos perbelanjaan masyarakat."
Menerusi program tersebut pihak pasar raya yang terlibat telah bersetuju untuk menawarkan beberapa jenis barangan yang akan dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran.
"Jadi apa yang akan kita promosikan pada Jualan Rahmah ini ialah pihak pasar raya telah bersetuju untuk memilih beberapa jenis barangan yang akan dijual dengan beberapa barangan diberi pengurangan harga.
"Saya kira ini sesuatu yang akan membantu masyarakat supaya mereka boleh membeli barangan dengan harga yang lebih murah selain menjimatkan kos sara hidup mereka," katanya.
Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Paroi berkata, pada program Jualan Rahmah Siri 1 pada 7 April sehingga 9 April lalu juga telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat.
Program Jualan Rahmah Kasih Sayang Siri 2 diadakan di seluruh Negeri Sembilan selama tiga hari itu melibatkan enam pasar raya terpilih dengan menawarkan harga yang berpatutan.
(Mohamad Taufek Abd Ghani)