GUA MUSANG, 24 September- Lebih 1,000 penduduk tidak melepaskan peluang menyerbu program Jualan Rahmah Kasih Sayang anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Gua Musang, Kelantan.
Penduduk beratur seawal pukul 8.00 pagi untuk mendapatkan harga barangan makanan asas yang lebih murah daripada harga biasa pasaran setempat.
Antara barangan disediakan termasuklah barangan basah seperti beras, telur, gula, ayam segar, ikan dan sayur-sayuran.
Menurut penduduk, inisiatif itu membantu golongan B40 terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar.
"Saya ke sini hari ini untuk membeli barang-barang keperluan asas. Terima kasih Parlimen Gua Musang kerana telah mengadakan jualan ini untuk kemudahan kita bersama," kata penduduk, Zuraini Abdullah.
"Saya akan menyerbu tempat-tempat yang menjual barangan keperluan harian yang murah. Barang-barang itu boleh bertahan lebih daripada seminggu. Jika boleh dibuat seminggu sekali, penduduk di sini akan beruntung kerana barang-barang keperluan harian di kedai terlalu mahal," kata penduduk, Mohd Noor Yasin.
"Saya berharap kerajaan meneruskan usaha dibuat ini. Banyak penjimatan jika program ini diadakan selalu," kata penduduk, Roslina Zainuri.
Program Jualan Rahmah Kasih Sayang itu berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.
(Antara barangan disediakan termasuklah barangan basah seperti beras, telur,
gula, ayam segar, ikan dan sayur-sayuran.)