BAHAU, 22 Februari - Program Jualan Rahmah ‘Back To School’ akan memanfaatkan seramai 196,182 pelajar sekolah di Negeri Sembilan.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Veerapan Superamaniam berkata, pelaksanaan program itu dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran dan berpatutan hingga 30 peratus.
Ini selari dengan pendekatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi 'Whole of Nation Approach' dalam menangani kos sara hidup rakyat, disamping meningkatkan keterangkuman pelbagai pihak sekali gus memanfaatkan lebih ramai masyarakat.
"Tahun 2024 ini Program Jualan Rahmah di peringkat Negeri Sembilan ini diperluaskan konsep Jualan Rahmah ‘Back To School’ dengan menawarkan penjualan pakaian dengan peralatan sekolah.
"Program ini mendapat sambutan yang baik dengan penyertaan 43 pasaraya dan peruncit di seluruh Negeri Sembilan yang merangkumi lapan parlimen," kata Veerapan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Jualan Rahmah ’Back To School’ Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024, di sini.
Program Jualan Rahmah 'Back To School' akan dilaksanakan secara serentak di seluruh Negeri Sembilan bermula esok hingga 26 Februari ini.
Dalam pada itu, seramai 20 orang pelajar sekolah telah menerima set pakaian sekolah serta bantuan Bakul Rahmah turut disumbangkan kepada 50 orang penerima dari sekitar Parlimen Jempol.